Thursday 11 February 2016

13.7JUTA DADAH DISITA, 3 DIBURU!

Polis merampas pelbagai jenis harta bernilai RM13.7 juta milik pengedar dadah yang ditangkap di Perak sepanjang tahun lepas, yang meningkat 208.8 peratus berbanding RM4.4 juta pada 2014.



Tindakan di bawah Akta Perlucutan Harta 1988 itu merupakan sitaan harta terbanyak sekali di seluruh Malaysia bagi 2015.

Seramai 2,091 pengedar dadah ditangkap di seluruh Perak sepanjang tahun lepas yang meningkat berbanding 1,987 pada 2014 dan menjadi tangkapan terbanyak di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 569 ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, manakala 113 orang lagi ditangkap mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985.

Kebanyakan daripada mereka merupakan dalang atau perancang dan pembiaya dalam sindiket yang ditumpaskan pada 2015.

Sepanjang tahun lepas, seramai 4,046 orang ditangkap kerana kesalahan memiliki dadah yang merupakan peningkatan sebanyak 18.3 peratus berbanding 3,421 orang pada 2014.

Kesemua tangkapan kes pengedaran dan memiliki dadah itu menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM6 juta.

Seramai 4,578 penagih dadah ditangkap dan dikenakan tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tahun lepas menerusi 41 Operasi Sarang.

Keseluruhannya, sebanyak 13,228 pesalah dadah ditangkap di seluruh negeri ini sepanjang tahun lepas yang bertambah 9.3 peratus berbanding 12,098 orang pada 2014.

Polis akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman dadah di Perak tahun ini bagi memastikan gejala ini dibendung berterusan.

Polis Perak giat mengesan tiga individu lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes dadah di Perak.

Mereka ialah Hew Tean Khoon, 40, yang alamat terakhirnya di Lorong 3, Gunung Rapat, Ipoh dan Desa Pakar Apartment, Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur; S. Thevan, 34, beralamat terakhir di Jalan Queen Pasir Pinji, Ipoh dan Mohd Yunus Mat Yusof, 30, yang alamat terakhirnya di Kampung Perlok Baru, Sungkai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Loo Hun Liong di talian 016-4744439 dan Inspektor Hairuddin Hassan di talian 012-8063834.

No comments:

Post a Comment