Thursday 11 February 2016

#GoPDRMGo: TIGA FOKUS MEMPERKASAKAN PENGURUSAN PDRM

PERTAMA : MEMPERKASAKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN KE ARAH KEPOLISAN MODEN

Aspek Penyampaian Perkhidmatan Terbaik merupakan agenda utama beliau dalam merealisasikan fokus utama Ketua Polis Negara tahun 2016. Tumpuan utama adalah di peringkat pelaksana iaitu peringkat daerah dan balai yang merupakan barisan hadapan yang menyumbang kepada 'first impression' atau tanggapan pertama masyarakat terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan pihak polis. Menurut beliau, analisa PEMANDU mendapati terdapat 90 peratus jurang antara persepsi dan realiti terhadap penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat. Justeru, keberkesanan barisan hadapan meliputi Ketua Polis Balai,MPV, URB, Kaunter Pertanyaan dan pegawai penyiasat yang juga menyumbang impak secara langsung dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan jurang yang mewujudkan persepsi negatif di kalangan masyarakat umum tentang keberkesanan PDRM. SSO atau Sistem Semakan Online perlu diberi perhatian terutama berkaitan pemberitahuan pertama, kedua dan ketiga kepada pengadu agar dapat membantu mempertingkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan polis.

KEDUA : KELOMPOK PELAKSANA PERLU FOKUS DAN MENETAPKAN SASARAN UTAMA DALAM MEMBERIKAN PERKHIDMATAN TERBAIK

Sebagai kelompok pelaksana yang merupakan elemen penting dalam PDRM, Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai dan Ketua Cawangan perlu fokus dan menetapkan hala tuju masing-masing selari dengan fokus utama Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Negara agar setiap tindakan tidak tersasar, malah menjadi panduan dan garis pengukur prestasi masing-masing. Sementara itu, aspek kebajikan dan 'internal engagement' pegawai dan anggota bawahan perlu dititikberatkan dalam memberikan suntikan moral dan memotivasikan mereka agar mereka mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada organisasi PDRM.

KETIGA : MENTRANSFORMASIKAN MODAL INSAN KE ARAH KEPOLISAN MODEN

Jabatan Pengurusan PDRM menuju ke arah transformasi modal insan ke arah kepolisan moden. Aspek keterampilan dan personaliti yang segak diberi keutamaan. Mulai Januari 2017, keterampilan merupakan salah satu aspek yang diambil kira dalam kenaikan pangkat. Dengan erti kata lain, pegawai dan anggota yang obesiti disarankan untuk bekerja keras dalam mencapai berat badan yang ideal demi kemajuan karier masing-masing sejajar dengan Program 'Trim and Fit' yang telah dilancarkan oleh beliau pada bulan Januari yang lalu.

Harapan beliau agar kelompok pelaksana memberikan keutamaan terhadap aspek penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan iaitu masyarakat umum yang merupakan panel penilai terhadap prestasi PDRM sebagai agen keselamatan dalam mengekalkan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

'TANPA MODAL INSAN YANG MANTAP DAN CEMERLANG, KITA TIDAK AKAN MAMPU MENCAPAI PRESTASI YANG CEMERLANG'.

Sumber: Polis Selangor

No comments:

Post a Comment